Kiriman tidak dijawab | Topik aktif Waktu sekarang ialah Selasa, 16 Jul 2019 10:24 am



Jawab topik  [ 23 kiriman ]  Pergi ke muka Sebelumnya  1, 2
Aqidah Ahl Sunnah Wal Jamaah 
Pengarang Mesej
Administrator
Administrator

Menyertai pada: Rabu, 16 Jul 2008 11:54 am
Kiriman: 69
Lokasi: From Baling TO JB
Jawab dengan petikan
2. Iradat ertinya Menentukan/berkehendak

Adapun hakikat Iradat itu satu sifat yang Qadim lagi azali yang sabit berdiri pada zat Allah Ta’ala maka dengan Dia menentukan sekalian mumkin adanya atau tiadanya, muafakat dengan Ilmu-Nya.

Adapun Iradat Allah Ta’ala menentukan enam perkara:

a. Menentukan mumkin itu Ada atau tiadanya

b. Menentukan Tempat mumkin itu

c. Menentukan Jihat mumkin itu

d. Menentukan Sifat mumkin itu

e. Menentukan Qadar mumkin itu

f. Menentukan Masa mumkin itu


Lawannya Karahat ertinya tiada menentukan atau tiada berkehendak, iaitu mustahil tiada diterima oleh aqal sekali-kali dikatakan Allah Ta’ala itu tiada menentukan atau tiada berkehendak, kerana jikalau tiada Ia menentukan atau tiada Ia berkehendak mengadakan alam ini atau meniadakan alam ini nescaya tiadalah baharu (Berubah) alam ini maka sekarang alam ini telah nyata adanya perubahan, ada siang ada malam, ada yang datang ada yang pergi, seperti yang telah kita lihat dengan mata kepala kita sendiri, maka menerimalah aqal kita wajib bagi Allah Ta’ala bersifat Iradat dan mustahil lawannya Karahat.

Adapun dalilnya firman-Nya dalam Al Qur’an: fa’allu limaa yuriy d’, ertinya berbuat Allah Ta’ala dengan barang yang ditentukan-Nya.

Adapun Iradat dengan amar dan nahi itu tiada berlazim kerana:

Ada kalanya disuruh tetapi tiada dikehendaki seperti Abu jahal, Abu lahab dan segala pengikutnya. Ada kalanya disuruh dan dikehendaki seperti Abu Bakr dan segala sahabat yang lain. Ada kalanya tiada disuruh dan tiada dikehendaki seperti kafir yang banyak. Adakalanya tiada disuruh tetapi dikehendakiseperti mengerjakan yang haram dan makruh seperti Nabi Adam as dan Hawa.

Tetaplah dalam Hakikat Iradat itu difahami dengan memahami sifat Salbiyah terlebih dahulu untuk menafikan apa-apa yang tiada patut dan tiada layak pada dzat, pada sifat dan pada af’al Allah Ta’ala.

*

Iradat Allah Ta’ala Qadim atau sedia, tiada diawali dengan Karahat.
*

Iradat Allah Ta’ala Baqa’ atau Kekal, tiada diakhiri dengan Karahat.
*

Iradat Allah Ta’ala itu Mukhalafatuhu lil hawadits, atau bersalahan dengan yang baharu, maha suci dari sekalian misal.

*

Iradat Allah Ta’ala itu Qo’imumbizzatihi atau berdiri pada zat Allah Ta’ala, tiada meminta tolong pada sesuatu, dan tiada mengambil faedah.
*

Iradat Allah Ta’ala itu Wahdaniyah, atau Esa, tiada kam muttassil (Berhubung/bersusun) dan tiada kam mumfasil (tiada bercerai dengan sifat yang lain).


Selasa, 03 Feb 2009 10:11 am
Profil YIM WWW
Administrator
Administrator

Menyertai pada: Rabu, 16 Jul 2008 11:54 am
Kiriman: 69
Lokasi: From Baling TO JB
Jawab dengan petikan
3. Ilmu ertinya Mengetahui

Adapun hakikat Ilmu itu iaitu satu sifat yang Qadim lagi azali yang sabit berdiri pada zat Allah Ta’ala maka dengan Dia Mengetahui pada yang wajib, pada yang mustahil, dan pada yang harus.

Adapun yang wajib itu zat dan sifatNya, maka mengetahui Ia zatNya dan sifatNya yang Kamalat.

Adapun yang mustahil itu iaitu yang menyekutui ketuhanannya atau yang kekurangan baginya maka mengetahui Ia tiada yang menyekutui bagi ketuhanan-Nya dan yang kekurangan pada-Nya.

Adapun yang harus itu sekalian alam ini maka mengetahui Ia segala perkara yang ada pada masa sekarang ini, segala perkara yang sudah tiada dan segala perkara yang akan diadakan lagi dan tiada terdinding yang dalam Ilmu-Nya sebesar jarah jua pun, semuanya diketahui-Nya dengan Ilmu-Nya yang Qadim

Lawannya Jahil, ertinya bodoh, iaitu mustahil tiada diterima oleh aqal sekali-kali dikatakan Ia Jahil atau bodoh kerana jikalau ia Jahil atau bodoh nescaya tiadalah teratur atau tersusun segala pekerjaan di dalam alam ini maka sekarang alam ini telah teratur dan tersusun dengan baiknya, maka menerimalah aqal kita wajib bagi Allah Ta’ala bersifat Ilmu dan mustahil lawannya Jahil atau bodoh.

Adapun dalilnya firman-Nya dalam Al Qur’an: wallahu bikulli syai’in ‘alimun, ertinya Allah Ta’ala mengetahui tiap-tiap sesuatu.

Tetaplah dalam Hakikat Ilmu itu difahami dengan memahami sifat Salbiyah terlebih dahulu untuk menafikan apa-apa yang tiada patut dan tiada layak pada dzat, pada sifat dan pada af’al Allah Ta’ala.

*

Ilmu Allah Ta’ala Qadim atau sedia, tiada diawali dengan jahil.
*

Ilmu Allah Ta’ala Baqa’ atau Kekal, tiada diakhiri dengan jahil.
*

Ilmu Allah Ta’ala itu Mukhalafatuhu lil hawadits, atau bersalahan dengan yang baharu, maha suci dari sekalian misal, dan tiada terdinding.
*

Ilmu Allah Ta’ala itu Qo’imumbizzatihi atau berdiri pada zat Allah Ta’ala, tiada meminta tolong pada sesuatu.
*

Ilmu Allah Ta’ala itu Wahdaniyah, atau Esa, tiada kam muttassil (Berhubung/bersusun) dan tiada kam mumfasil (tiada bercerai dengan sifat yang lain).


Khamis, 05 Feb 2009 5:11 pm
Profil YIM WWW
Administrator
Administrator

Menyertai pada: Rabu, 16 Jul 2008 11:54 am
Kiriman: 69
Lokasi: From Baling TO JB
Jawab dengan petikan
4. Hayat ertinya Hidup
Adapun hakikat Hayat itu satu sifat yang Qadim lagi azali yang sabit berdiri pada zat Allah Ta’ala, maka dengan Dia zohirlah sifat yang lain-lain.

Lawannya maut ertinya mati, iaitu mustahil tiada diterima oleh aqal sekali-kali dikatakan Ia mati kerana jikalau Ia mati nescaya tiadalah ada sifat yang lain seperti Qudrat, Iradat dan Ilmu maka menerimalah aqal kita wajib bagi Allah Ta’ala bersifat hayat dan mustahil lawannya maut.

Adapun dalilnya firman-Nya dalam Al Qur’an: huwal hayyuladzii laa yamuut, ertinya Dia yang Hidup yang tiada mati.

Tetaplah dalam Hakikat Hayat itu difahami dengan memahami sifat Salbiyah terlebih dahulu untuk menafikan apa-apa yang tiada patut dan tiada layak pada dzat, pada sifat dan pada af’al Allah Ta’ala.

*

Hayat Allah Ta’ala Qadim atau sedia, tiada diawali dengan maut.
*

Hayat Allah Ta’ala Baqa’ atau Kekal, tiada diakhiri dengan maut.
*

Hayat Allah Ta’ala itu Mukhalafatuhu lil hawadits, atau bersalahan dengan yang baharu, maha suci dari sekalian misal.
*

Hayat Allah Ta’ala itu Qo’imumbizzatihi atau berdiri pada zat Allah Ta’ala, tiada meminta tolong pada sesuatu.
*

Hayat Allah Ta’ala itu Wahdaniyah, atau Esa, tiada kam muttassil (Berhubung/bersusun) dan tiada kam mumfasil (tiada bercerai dengan sifat yang lain)

5. Sami’ ertinya Mendengar
Adapun hakikat Sami’ itu iaitu satu sifat yang Qadim lagi azali yang sabit berdiri pada zat Allah Ta’ala, maka dengan Dia mendengar segala yang maujud sama ada yang maujud itu Qadim atau Muhadas.

Adapun maujud yang Qadim iaitu dzat dan Sifat-Nya, maka mendengar Ia akan Kalam-Nya yang tiada berhuruf dan bersuara, dan yang muhadas iaitu sekalian alam ini maka mendengar Ia akan segala perkara yang ada pada masa sekarang ini, segala perkara yang sudah tiada dan segala perkara yang akan diadakan lagi, maka tiada terdinding pendengarannya oleh sebab jauh atau tersembunyi.

Lawannya Sumum, ertinya pekak atau tuli iaitu mustahil tiada diterima oleh aqal sekali-kali dikatakan Ia pekak atau tuli kerana jikalau Ia pekak atau tuli nescaya tiadalah dapat Ia memperkenankan seruan makhluk-Nya padahal Menyuruh Ia kepada sekalian makhluk-Nya dengan meminta seperti firman-Nya dalam Al Qur’an: ud’uunii astajib lakum, ertinya mintalah olehmu kepadaKu nescaya Aku perkenankan.

Maka menerimalah aqal kita wajib bagi Allah Ta’ala bersifat Sami’ dan mustahil lawannya Sumum, pekak atau tuli, adapun dalilnya firman-Nya dalam Al Qur’an: wallahu sami’un ‘alimun, ertinya Allah Ta’ala itu yang mendengar dan yang mengetahui .

Tetaplah dalam Hakikat Sami’ itu difahami dengan memahami sifat Salbiyah terlebih dahulu untuk menafikan apa-apa yang tiada patut dan tiada layak pada dzat, pada sifat dan pada af’al Allah Ta’ala.

*

Sami’ Allah Ta’ala Qadim atau sedia, tiada diawali dengan pekak.
*

Sami’ Allah Ta’ala Baqa’ atau Kekal, tiada diakhiri dengan pekak.
*

Sami’ Allah Ta’ala itu Mukhalafatuhu lil hawadits, atau bersalahan dengan yang baharu, maha suci dari sekalian misal, dan tiada terdinding.
*

Sami’ Allah Ta’ala itu Qo’imumbizzatihi atau berdiri pada zat Allah Ta’ala, tiada meminta tolong pada sesuatu.
*

Sami’ Allah Ta’ala itu Wahdaniyah, atau Esa, tiada kam muttassil (Berhubung/bersusun) dan tiada kam mumfasil (tiada bercerai dengan sifat yang lain).


Jumaat, 06 Feb 2009 8:45 am
Profil YIM WWW
Administrator
Administrator

Menyertai pada: Rabu, 16 Jul 2008 11:54 am
Kiriman: 69
Lokasi: From Baling TO JB
Jawab dengan petikan
6. Bashir ertinya Melihat

Adapun hakikat Bashir itu satu sifat yang Qadim lagi azali yang sabit berdiri pada zat Allah Ta’ala, maka dengan Dia melihat segala yang maujud sama ada yang maujud itu Qadim atau muhadas.

Adapun maujud yang Qadim itu dzat dan sifat-Nya, maka melihat Ia akan dzat-Nya yang tiada berupa dan berwarna dan sifat-Nya yang kamalat.

Adapun maujud yang muhadas itu sekalian alam ini maka melihat Ia akan segala perkara yang ada pada masa sekarang ini, segala perkara yang sudah tiada dan segala perkara yang lagi akan diadakan. Tiada terdinding yang pada penglihatan-Nya oleh sebab jauh atau sangat halusnya atau sangat kelamnya.

Lawannya ‘Umyun, ertinya buta, iaitu mustahil tiada diterima oleh aqal sekali-kali dikatakan Ia buta kerana jikalau Ia buta maka jadilah Ia kekurangan. Maka menerimalah aqal kita wajib bagi Allah Taa’la itu bersifat Bashir dan mustahil lawannya ‘Umyun atau buta

Adapun dalilnya firman-Nya dalam AlQur’an: wallahu bashirun bimaa ta’maluun, ertinya Allah Ta’ala itu melihat apa yang kamu kerjakan.

Tetaplah dalam Hakikat Bashir itu difahami dengan memahami sifat Salbiyah terlebih dahulu untuk menafikan apa-apa yang tiada patut dan tiada layak pada dzat, pada sifat dan pada af’al Allah Ta’ala.

*

Bashir Allah Ta’ala Qadim atau sedia, tiada diawali dengan buta.
*

Bashir Allah Ta’ala Baqa’ atau Kekal, tiada diakhiri dengan buta.
*

Bashir Allah Ta’ala itu Mukhalafatuhu lil hawadits, atau bersalahan dengan yang baharu, maha suci dari sekalian misal, dan tiada terdinding.
*

Bashir Allah Ta’ala itu Qo’imumbizzatihi atau berdiri pada zat Allah Ta’ala, tiada meminta tolong pada sesuatu.
*

Bashir Allah Ta’ala itu Wahdaniyah, atau Esa, tiada kam muttassil (Berhubung/bersusun) dan tiada kam mumfasil (tiada bercerai dengan sifat yang lain).

7. Kalam ertinya Berkata-kata

Adapun hakikat Kalam itu satu sifat yang Qadim lagi azali yang sabit berdiri pada zat Allah Ta’ala, maka dengan Dia berkata-kata pada yang wajib seperti firman-Nya: fa’lam annahu laailahaillalah, ertinya ketahui oleh mu bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah, dan berkata-kata pada yang mustahil dengan firman-Nya: laukana fiyhima aa lihatun illallah lafasadatu, ertinya jikalau ada tuhan yang lain selain daripada Allah maka binasalah segala-galanya. dan berkata pada yang harus dengan firman-Nya: wallahu kholaqokum wamaa ta’maluun, ertinya Allah Ta’ala jua Yang menjadikan kamu dan barang perbuatan kamu.

Lawannya Bukmum, ertinya kelu atau bisu iaitu mustahil tiada diterima oleh aqal sekali-kali dikatakan Ia bisu atau kelu kerana jikalau Ia bisu atau Kelu tiadalah dapat Ia menyuruh atau mencegah dan menceritakan segala perkara seperti hari kiamat, syurga, neraka dan lain-lain. Maka sekarang suruh dan cegah itu ada pada kita seperti suruh kita sembahyang dan cegah kita berbuat ma’siat. Maka menerimalah aqal kita wajib bagi Allah Ta’ala itu bersifat Kalam dan mustahil lawannya bukmum, kelu atau bisu. Adapun dalilnya firman-Nya dalam Al Qur’an: wa kallamallaahu muusa taklimaan, ertinya berkata-kata Allah Ta’ala dengan nabi Musa as dengan sempurna kata.

Adapun Kalam Allah Ta’ala itu satu sifat jua tiada Ia berbilang tetapi berbagi-bagi dipandang dari segi perkara yang dikatakan-Nya apabila Ia menunjukkan kepada suruh maka dinamakan amar seperti suruh sembahyang dan puasa dan lain-lain, jika Ia menunjukkannya kepada cegah atau larangan maka dinamakan nahi seperti cegah berjudi., minum arak dan lain-lain, jika Ia menunjukkan pada cerita dinamakan akhbar, seperti cerita raja Fir’aun , Namrudz, dan lain-lain. jika Ia menunjukkan pada khabar gembira dinamakan Wa’ad seperti balas syurga pada orang beriman dan ta’at dan lain-lain, jika Ia menunjukkan pada khabar menakutkan maka dinamakan Wa’id, seperti janji balas neraka dan azab bagi orang yang berbuat maksiat dan kafir.

Tetaplah dalam Hakikat Kalam itu difahami dengan memahami sifat Salbiyah terlebih dahulu untuk menafikan apa-apa yang tiada patut dan tiada layak pada dzat, pada sifat dan pada af’al Allah Ta’ala.

*

Kalam Allah Ta’ala Qadim atau sedia, tiada diawali dengan kelu.
*

Kalam Allah Ta’ala Baqa’ atau Kekal, tiada diakhiri dengan kelu.
*

Kalam Allah Ta’ala itu Mukhalafatuhu lil hawadits, atau bersalahan dengan yang baharu, maha suci dari sekalian misal, tiada terdinding dan tiada berhuruf atau bersuara.
*

Kalam Allah Ta’ala itu Qo’imumbizaatihi atau berdiri pada zat Allah Ta’ala, tiada meminta tolong pada sesuatu.
*

Kalam Allah Ta’ala itu Wahdaniyah, atau Esa, tiada kam muttassil (Berhubung/bersusun) dan tiada kam munfasil (tiada bercerai dengan sifat yang lain).


Jumaat, 06 Feb 2009 8:51 am
Profil YIM WWW
Administrator
Administrator

Menyertai pada: Rabu, 16 Jul 2008 11:54 am
Kiriman: 69
Lokasi: From Baling TO JB
Jawab dengan petikan
Bahagian IV: Sifat Ma’nawiyyah
Adapun hakikat sifat ma’nawiyah itu: hiyal halul wajibatu lidzati madaamati lidzati mu’allalati bi’illati, ertinya hal yang wajib bagi dzat selama ada dzat itu dikeranakan suatu kerana iaitu Ma’ani, umpama berdiri sifat Qudrat pada dzat maka baru dinamakan dzat itu Qadirun, ertinya Yang Kuasa, Qudrat sifat Ma’ani, Qadirun sifat Ma’nawiah maka berlazim-lazim antara sifat Ma’ani dengan sifat Ma’nawiah, tiada boleh bercerai iaitu tujuh sifat pula:

1. QADIRUN, ertinya Yang Kuasa, melazimkan Qudrat berdiri pada dzat

2. MURIIDUN, ertinya Yang Menentukan maka melazimkan Iradat yang berdiri pada dzat

3. ‘ALIMUN, ertinya Yang Mengetahui maka melazimkan ‘Ilmu yang berdiri pada dzat

4. HAYYUN, ertinya Yang Hidup melazimkan Hayyat yang berdiri pada dzat

5. SAMI’UN, ertinya Yang Mendengar melazimkan Sami’ yang berdiri pada dzat

6. BASIRUN, ertinya Yang Melihat melazimkan Basir yang berdiri pada dzat

7. MUTTAKALLIMUN, ertinya Yang Berkata-kata melazimkan Kalam yang berdiri pada dzat


Sabtu, 07 Feb 2009 11:26 am
Profil YIM WWW
Administrator
Administrator

Menyertai pada: Rabu, 16 Jul 2008 11:54 am
Kiriman: 69
Lokasi: From Baling TO JB
Jawab dengan petikan
Bahagian V: Sifat Istighna

Ertinya sifat Kaya, Hakikat sifat Istighna: mustaghniyun ’angkullu maa siwahu, ertinya Kaya Allah Ta’ala itu daripada tiap-tiap yang lain.

Apabila dikatakan Kaya Allah Ta’ala daripada tiap-tiap yang lain, maka wajib bagi-Nya bersifat dengan sebelas (11) sifat, jikalau kurang salah satu daripada sebelas (11) sifat itu maka tiadalah dapat dikatakan Kaya Allah Ta’ala daripada tiap-tiap yang lainnya.

Adapun sifat wajib yang 11 itu ialah:

Wujud, Qidam, Baqa’, Mukhalafatuhu lil hawaditsi, Qiyamuhu binafsihi, Sami’, Bashir, Kalam, Sami’un, Bashirun dan Muttakalim.

Selain sebelas (11) sifat yang wajib itu ada tiga (3) sifat yang harus (Jaiz) yang termasuk pada sifat Istighna iaitu

1. Mahasuci dari pada mengambil faedah pada perbuatan-Nya atau pada hukum-Nya, lawannya mengambil faedah, iaitu mustahil tiada diterima oleh aqal sekali-kali kerana jikalau mengambil faedah tiadalah Kaya Ia daripada tiap-tiap yang lainnya kerana lazim diwaktu itu berkehendak Ia pada menghasilkan hajat-Nya

2. Tiada wajib Ia menjadikan alam ini. Lawannya wajib iaitu mustahil tiada diterima oleh aqal sekali-kali kerana jikalau wajib Ia menjadikan alam ini tiadalah Ia Kaya daripada tiap-tiap yang lainnya, kerana lazim diwaktu itu berkehendak Ia kepada yang menyempurnakan-Nya

3. Tiada memberi bekas suatu daripada kainat-Nya dengan kuatnya. Lawannya memberi bekas iaitu mustahil tiada diterima oleh aqal sekali-kali kerana jikalau memberi sesuatu daripada kainat-Nya dengan kuatnya tiadalah Kaya Ia pada tiap-tiap yang lainnya kerana lazim diwaktu itu berkehendak Ia mengadakan sesuatu dengan wasitoh


Sabtu, 07 Feb 2009 11:44 am
Profil YIM WWW
Administrator
Administrator

Menyertai pada: Rabu, 16 Jul 2008 11:54 am
Kiriman: 69
Lokasi: From Baling TO JB
Jawab dengan petikan
Bahagian VI: Sifat Iftiqor ilahi

Ertinya sifat berkehendak: hakikat sifat Ifthiqor: wamuftaqirun ilaihi kullu maa ’adaahu, artinya berkehendak tiap-tiap yang lainnya kepada-Nya.

Apabila dikatakan berkehendak tiap-tiap yang lain kepada-Nya maka wajib bagi-Nya bersifat dengan sembilan (9) sifat, jikalau kurang salah satu daripada sembilan (9) sifat ini maka tiadalah dapat berkehendak tiap-tiap yang lainya kepada-Nya,

Adapun sifat wajib yang sembilan (9) itu adalah:

1. Qudrat
2. Iradat
3. Ilmu
4. Hayat
5. Qodirun
6. Muridun
7. ‘Alimun
8. Hayyun
9. Wahdaniah
Selain dari sembilan (9) sifat yang wajib itu ada dua (2) sifat yang harus termasuk pada sifat Ifthiqor:

1. Baharu sekalian alam ini. Lawannya Qodim iaitu mustahil tiada diterima oleh aqal sekali-kali kerana jikalau alam ini Qodim tiadalah berkehendak tiap-tiap yang lainnya kepada-Nya kerana lazim ketika itu bersamaan darjat-Nya

2. Tiada memberi bekas sesuatu daripada kainatnya dengan tobi’at atau dzatnya. Lawannya memberi bekas iaitu mustahil tiada diterima oleh aqal sekali-kali kerana jikalau memberi bekas sesuatu daripada kainat dengan tobi’at niscaya tiadalah berkehendak tiap-tiap yang lain kepada-Nya kerana lazim ketika itu terkaya sesuatu daripadaNya.

Maka sekarang telah nyata pada kita bahawa dua puluh delapan (2 sifat Istighna dan dua puluh dua (22) sifat Ifthiqar maka jumlahnya jadi limapuluh (50) ‘aqaid yang terkandung di dalam kalimah laa ilaha ilallaah, maka jadilah makna hakikat laa ilaha ilallaah itu dua: laa mustaghniyun an kullu maasiwahu, ertinya tiada yang kaya dari tiap-tiap yang lainnya dan wa muftaqirun ilaihi kullu ma’adahu, ertinya dan berkehendak tiap-tiap yang lain kepadaNya.

Ini makna yang pertama maka daripada makna yang dua itu maka jadi empat (4):

1. Wajibal wujud, iaitu yang wajib adanya.

2. Ishiqoqul ibadah, iaitu yang mustahak bagi-Nya ibadah

3. Kholikul ‘alam, iaitu yang menjadikan sekalian alam

4. Ma\'budun bihaqqi, iaitu yang disembah dengan sebenar-benarnya.

Ini makna yang kedua maka daripada makna yang empat (4) itu jadi satu (1) iaitu:

Laa ilaha ilallaah, Laa ma’budun ilallah, ertinya tiada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah.

Ini makna yang ketiga penghabisan maka jadilah kalimah laa ilaha ilallaah itu menghimpun nafi dan isbat

Adapun yang dinafikan itu sifat Istighna’ dan sifat Ifthikhor berdiri pada yang lain dengan mengatakan: laa ilaha dan diisbatkan sifat Istighna’ dan sifat Ifthikhor itu berdiri pada dzat Allah Ta’ala dengan mengatakan kalimah Ilallaah

Laa = nafi, Ilaha = menafi, illa = isbat, Allah = meng-isbat

Yang kedua kalimah laa ilaha ilallaah itu nafi mengandungi isbat dan isbat mengandung nafi seperti sabda nabi : laa yufarriqu bainannafi wal-isbati wamam farroqu bainahumaa fahuwa kaafirun, ertinya Tiada bercerai antara nafi dan isbat dan barang siapa menceraikan kafir. Seperti asap dengan api. Asap itu bukan api dan asap itu tidak lain daripada api. Asap tetap asap dan api tetap api: tetapi asap itu menunjukkan ada api inilah ertinya nafi mengandungi isbat dan isbat mengandung nafi. Tiada bercerai dan tiada bersekutu.


Sabtu, 07 Feb 2009 12:05 pm
Profil YIM WWW
Administrator
Administrator

Menyertai pada: Rabu, 16 Jul 2008 11:54 am
Kiriman: 69
Lokasi: From Baling TO JB
Jawab dengan petikan
AlhamduliLlah, Sudah selesai menukil berkenaan dengan perbahasan Aqidah. Cumanya kita jangan tersalah faham akan keterbatasan, seolah-oleh kita hanya menghadkan hanya 20 sifat kepada Allah, sedang Allah bersifat dengan sifat-sifat Kamalat yang tiada kunjung sudah. Cuma Para \'Ulama telah mengisyaratkan cukup dengan memahami akan Usul Sifat ini yg berjumlah 20 agar tidak berlaku fahaman dan i\'tiqad menyalahi Aqidah yang warisi oleh Para Rasul-rasul dan Nabi-nabi kepada Para Sahabat, Salaf As Solih dan Khalaf As Sodiq kepada kita umat islam.

Kaedah para Ulama\' Salaf dan Khalaf adalah sejalan dan tidak berbeza-beza kerana sejelasnya para Salaf mewarisi ilmu dan kefahaman mereka kepada Khalaf dgn sanad keilmuan yang sohih. Maka, glongan khalaf lah yang terlebih mengerti akan perkataan-perkataaan para Ulama\' Salaf dan pegangan aqidah mereka, oleh yang demikian wajib pula kita mengikut fahaman khalaf, kerana rantaian keilmuan inilah yang menghubung kita terus kepada Saidina Al Mustafa RasuluLlah.

Persoalan Aqidah adalah persoalan pokok kepada muslimin, maka tidaklah boleh kita hanya bertaklik sahaja tanpa menetapkan keimanan kepada Allah dengan sebenar-benar iman dan percaya. Apa yang ana nukilkan ini hanya sekadar bahan bacaan sebagai permulaan telaah atau mengingatkan kembali, perlulah antum berdepan dengan guru yang mempunyai jaluran sanad yang sohih sehingga kembali kepada Imam-Imam Aqidah iaitu antaranya Imam Abu Hasan Asyariy, Imam Abu Mansur Al Maturidi atau Al Imam Tohawi, yang mana mereka ini telah membahaskan secara sempurna akan disiplin ilmu aqidah ini sesuai jalan yang di tunjuki oleh Saidina Al Mustafa RasuluLlah, Para Sohabat, Para Tabi\'in dan Salaf As Soleh.

Kita berdoa kepada Allah, agar ditetapkan kita di jalan yang di redhoiNya seperti mana yang ditunjukiNya kepada para solihin yang terdahulu. InsyaAllah, amin.

Wassalam.
Abi Qalam


Sabtu, 07 Feb 2009 12:37 pm
Profil YIM WWW
Papar kiriman sejak:  Susun mengikut  
Jawab topik   [ 23 kiriman ]  Pergi ke muka Sebelumnya  1, 2

Siapa dalam talian

Pengguna yang melayari forum ini: Tiada pengguna berdaftar dan 1 tetamu


Anda tidak boleh mengirim topik baru dalam forum ini
Anda tidak boleh menjawab topik dalam forum ini
Anda tidak boleh menyunting kiriman anda dalam forum ini
Anda tidak boleh menghapuskan kiriman anda dalam forum ini
Anda tidak boleh mengirim lampiran dalam forum ini

Cari:
Lompat ke:  
cron